Hujan Merintik-Rintik di Waktu Malam

1:18 PM



Roesyadi:

Hujan membasahi permukaan tanah yang gersang. Dari jauh lampu-lampu yang berkelip di bangunan tinggi yang berdiri jarang-jarang mengkhayalkan aku di tepi daun tingkap yang terbuka separuh. Aku suka dengan bauan segar rumput hijau yang dibawa tiupan angin yang menemani hujan menuruni awanan gelap di langit. Pohon-pohon hijau di sekeliling danau kering melambai sayu seperti sedih dengan kepergian angin yang cuma datang untuk berlalu pergi. 

Malam ini sunyi seperti selalu; tidak ada tawa atau bisik-bisik manusia yang kedengaran. Dan malam ini alam seakan ingin diberikan ruang untuk berbicara. Bunyi hujan yang merintik-rintik di atas jalan tanah merah, guruh dan petir yang sambar menyambar, siulan angin yang mendensing di telinga dan suara katak yang memanggil hujan untuk terus menyimbah bumi. Cengkerik juga tak mahu ketinggalan menyumbang suara yang nyaring membingitkan. 

Ketika ini kita masih berjauhan sejak sekian lama. Dan aku teringatkan bahawa malam itu juga seperti malam ini. Di bawah cahaya bulan, di bawah sirna samar neon lampu jalanan kita duduk di suatu hentian. Berdua menikmati suasana malam dengan kedinginan angin yang mengigit dan tempias hujan yang melembapkan pakaian kita. Kita bercakapkan tentang hal yang kita sendiri tidak mengerti. Tentang masa hadapan yang kita rasakan terlalu jauh untuk kita gapai serta terlalu kabur untuk kita pastikan. Hinggalah saat kau buka mulut menyatakan suatu hal yang tidak aku inginkan.

Aku selalu berfikir apakah hujan yang turun dari langit ini kerana bumi sedang kesedihan? Atau adakah hujan menuruni langit kerana ada manusia yang sedang merasa sedih? Dan sekarang aku merasakan sesuatu yang sakit menekan-nekan di dalam dada. Aku mula merasa ada air jernih yang menuruni lingkaran mata perlahan-lahan. 

Oh Tuhan adakah ini kesedihan yang sedang aku rasakan?

Mutiara:

Bertemu dengan kamu memang mengembirakan. Kamu seperti kamus yang terlalu banyak kata-kata dan punya erti yang berbeza-beza. Boleh saja kamu segalanya. Kamu punya aura berlainan dan kalau kamu merupakan kutub utara magnetik sepastinya aku menjadi kutub magnetik yang selatan. Ini kerana terasakan seperti ada getaran yang menarik-narik ketika kamu berada di sekitar. Aku kurang pasti dengan apa yang sedang aku rasakan. Cuma yang pasti, aku nyaman dengan apa yang sedang aku rasa.

Kamu terlihatnya penuh dengan rahsia. Kamu, aku fikir sukar dimengertikan. Dan aku sering memerhatikan kamu duduk sendirian di ruang baca di lantai tiga perpustakaan. Kamu suka menyendiri dengan buku-buku di meja paling hujung yang hampir dengan tingkap. Sesekali kamu berhenti memberikan tumpuan pada halaman buku yang penuh dengan kata-kata dengan melemparkan pandangan ke luar tingkap. Entah apa yang kamu lihatkan tetapi pandangan kamu itu terlalu jauh dan khusyuk. Aku selalu menginginkan perhatian yang sebegitu dari kamu. Tetapi aku terlalu takut kerana aku bingung dengan apa yang kamu rasakan saat kamu melihat jauh ke luar tingkap. Dan kalau kesedihan yang sedang kamu rasakan, pastinya aku tidak mahu menjadi apa yang kamu lihatkan sekarang. Aku tidak mahu melelahkan jiwa kamu.

Di kesempatan yang ada, hubungan kita sepertinya mula merapat segenap dengan perjalanan masa yang menemani kita. Aku mula mengetahui beberapa perkara tentang kamu. Sepertinya kamu gemar menikmati air susu coklat dari kotak minuman. Kamu gemar mendengar senarai main bunyi alam ketika berjalan ke mana-mana kerana kamu sukakan rasa ketenangan. Ketenangan itu menjadikan kamu adalah kamu. Dan aku juga mahu menjadi sebahagian dari ketenangan kamu kerana aku mengemari kamu dari setiap satunya yang kamu punya. 

Aku suka mendengarkan kata-kata yang kamu bicarakan. Rasa tenang dan nyaman sentiasa mengiringi kerana kamu sentiasa mengatakan yang lembut kepada aku. Kamu mengungkapkan kata-kata kepada aku yang sepertinya kamu sedang memegang sesuatu yang rapuh. Terlalu berhati-hati dan aku mengemarinya kerana aku sememangnya rapuh mendengarkannya. 
Kadang-kadang aku merasa ragu kerana kamu masih suka berpandangan jauh yang entah ke mana-mana. Dan setiap kali kamu dilihat begitu, riak wajah kamu bertukar sedih. Adakah pernah terlintas di fikiran kamu untuk berkongsi rasa yang kamu rasakan kepada aku?

Beberapa minggu lagi akan berakhirnya semester akhir yang mungkin menjadi noktah pertemuan hidup dengan teman-teman yang lain. Dan aku ingin memadam noktah itu dalam garis pertemuan hidup kita kerana aku belum puas melingkari garis hidup bersama-sama dengan kamu. Jadi aku menjadi yakin untuk memberitahu kamu tentang apa yang selama ini aku rasakan terhadap kamu. Aku juga terfikir adakah kamu turut merasakan hal yang sama?

Kamu masih lagi memesan minuman susu coklat kotak yang sama. Masih duduk dengan pandangan kosong. Dan sekarang entah mengapa aku merasakan sesuatu yang sepertinya mengejutkan aku yang sedang nyenyak bermimpi indah. Hujan mulai turun menitik perlahan-lahan seiring dengan turunnya air jernih yang bergenang dan mengalir tak tertahankan dari mata aku. Sedu dan sedan dari aku membuatkan kamu kebingungan dan kita sudah pun berada di dalam lebat hujan yang membasahi kita. Aku berasa syukur di kehujanan ini yang menutupi genangan air yang sedang menuruni lengkuk pipi dan bibir aku. Kamu cuma terlalu baik. Itu jawapan aku bagi kebingungan kamu.

Aku kini merasa sedar yang aku bukanlah kutub selatan yang selama ini aku fikirkan. Ketenangan yang gemar kamu rasakan bukanlah yang datangnya sebahagian dari aku. Dan pandangan jauh yang selalu kamu lontarkan itu terlalu jauh untuk aku kejarkan. Aku mengerti sekarang bahawa tiada gunanya aku berusaha memadam noktah garis pertemuan kita kalau cuma aku yang berasa sungguh.
Tiba masanya aku melepaskan rasa-rasa yang puas aku pendamkan di dalam hati seperti berlalunya air mata yang gugur ketika hujan saat kita menuruni lereng bukit dan jalan di celah kawasan perumahan. Aku fikirkan dari beribu perkataan yang kamu ada tiada satu pun yang tertulis dengan nama aku.

Aku berharap aku mampu untuk belajar melangkah sendiri tanpa kamu.


Roesyadi:

Aku tahu aku terlalu terbawa-bawa dengan suatu rasa yang lampau. Rasa yang menyelubungi aku dari separuh kewujudan aku. Tetapi entah mengapa aku masih mampu berharap lagi pada waktu ini. Meskipun hujan sudah lama tidak turun membasahkan jalanan di malam-malam. Fikir aku mungkin bumi sudah berhenti berasa sedih dan aku juga harus berhenti dari merasakan yang sedemikian. 

Aku terlihatkan sebuah kotak di bawah meja yang sarat dengan pucuk-pucuk surat yang tidak pernah aku kirimkan kepada kau. Cukuplah dengan cara itu aku menzahirkan rasa saat aku merasa rindu atau bersedih memikirkan kita. Mungkin surat-surat ini yang menahan rasa sedih yang aku rasakan selama ini dari pergi meninggalkan aku. Dan aku merasakan sedikit puas saat melihatkan bara-bara api dari pucuk-pucuk surat yang bertukar menjadi abu. Bara api yang terbang itu seperti membebaskan rasa yang membelengu jiwa aku dan abu yang berkumpul di tanah itu menjadi penamat kepada kesedihan selama ini yang aku rasakan.

Aku masih gemar minuman susu coklat dari kotak. Aku masih lagi mendengar runut bunyi alami bila berjalan ke mana-mana kerana aku sukakan ketenangan. Cuma sekarang aku seakan lebih mengerti rasa ketenangan yang sebenar saat aku tidak memberi rasa sayu yang mahu datang peluang untuk singgah di hati aku lagi.

Meski kesibukan tugas di pejabat, aku masih belum lupa untuk tersenyum. Sekarang tiada rasa yang memberat di hati aku walaupun masih ada sedikit pucuk pengharapan. Tetapi aku rasakan itu bukanlah suatu yang salah asalkan cukup tidak mulai mengawal aku.

Aku sering menerima pesanan ringkas ganjil yang menyatakan kerinduannya terhadap butir bicara yang selalu aku ungkapkan. Dia pasti seorang yang pernah dekat dengan aku. Tetapi setiap kali aku cuba menghubunginya belum pernah ada jawapan yang dia berikan. Dan sekarang tiada lagi pesanan yang dikirimkan.

Malam ini hujan turun setelah sekian lama tidak menyirami tanah-tanah tandus yang kegersangan. Aku berfikir barangkali sedang ada manusia yang kesedihan. Aku cuma tersenyum sambil menutup daun tingkap yang terbuka luas kerana aku tahu bukan aku yang sedang merasakan kesedihan itu.
Dan sekarang aku cuma berharap hujan tidak akan turun lagi.      


Mutiara:

Aku tahu aku seharusnya berhenti berusaha tentang kamu. Tetapi aku sentiasa memaafkan diri setiap kali aku mengirimkan pesan buat kamu. Aku masih belajar untuk berjalan sendiri. Cuma terkadang masih tersisa rasa rindu buat kamu.

Cukuplah, mungkin ini pesanan yang terakhir.


Natalia:

Semalam aku bermimpi aku kehujanan di malam yang pekat. Cuma samar cahaya bulan dan lampu jalanan yang menenerangi. Aku kesejukan bersama seorang teman yang aku selesa. Kita ketika itu masih terlalu muda untuk mengertikan hal yang kita tidak ketahui. Aku masih ingat akan kesedihan yang kita rasakan saat aku mengungkapkan hasrat aku untuk berpindah ke luar negeri atas tugas orang tuaku. Dan masih segar di ingatan aku akan rasa bibir kita yang bersentuhan dan hangat pelukmu dalam kehujanan.

Mungkin ada rasa yang juga membelengu setiap hari aku selepas malam itu. Rasa yang belum sempat aku ungkapkan kerana aku sendiri tidak yakin bahawa adakah rasa ini turut dirasakanmu. Sering kita berutus surat pada awalnya dan setelah itu aku berhenti membalas suratmu. Meskipun begitu aku masih berharap akan surat-suratmu. Aku fikirnya mungkin sekarang rasa yang punyamu itu sudah berubah. Mungkin juga ada yang mengubah rasamu itu.

Dan sekarang aku mengingatkan tentangmu. Aku cuma berharap dirimu baik-baik sahaja. Kerana masa yang memisahkan kita terlalu jauh menjarakkan kita. Sudah terlalu jauh untuk kita kejarkan. Aku takut sekiranya aku memilih lelah berlari menentang masa cuma membawakan aku yang tiada apa-apa.

Malam ini hujan turun lagi selebatnya. Bezanya sekarang aku sudah tidak kedinginan lagi. Aku mengucup lembut dahi lelaki yang menghangatkan kedinginan rasa yang telah diberikanmu.

You Might Also Like

0 Comments

Powered by Blogger.

Followers

ALIRAN TRAFIK

Ping!