Bila Saatnya Kau Patah Hati

12:01 AM


Hujan malam ini mengingatkan aku tentang beberapa perkara. Baik yang mengembirakan juga perkara yang mendukacitakan. Kalau malam ini ada yang leka saling berbalas pesanan dengan kekasih hati dan mungkin juga ada yang malam ini merupakan kali terakhir mendapat pesanan dari kekasih. Kerana saat selepas itu kekasihnya akan pergi jauh meninggalkannya. Yang cuma tinggal hanyalah rasa sebal dan sisa harap bersama-samanya.

Sejujurnya sakit ditinggalkan kekasih ini perih yang barangkali sukar untuk ditanggung kerana dasar wujudnya hubungan itu sendiri sememangnya mengharapkan untuk kekal selamanya. Tetapi percayalah untuk setiap kesakitan yang kau rasakan pada malam ini, setiap titis air mata yang membasahi pipi kau semuanya akan terubat. Tuhan itu tidak kejam untuk menjadikan kesakitan itu sebagai suatu yang abadi.

Ambillah sebanyak masa yang kau perlukan untuk tangisi dan bila tiba masa yang sesuai kau perlu bangkit dari segala-galanya. Berhentilah daripada mempersoalkan kenapa kau diuji dengan rasa yang sebegini. Mungkin kau akan didekatkan dengan perkara yang lebih memanfaatkan diri. Semuanya berhikmah dan setiap hakikat ini kau perlu terima dengan hati terbuka dan minda yang tenang.

Satu hari nanti kau akan ditemukan dengan orang yang lebih tahu menghargai diri kau. Yang akan rasa puas setiap kali melihat kau tersenyum serta ikhlas melakukan segalanya demi kau. Kau tak boleh letakkan segala kesalahan yang menjadikan hubungan yang diharapkan terus mekar berkembang tetapi layu dipertengahan jalan ke atas bahu kau seorang. Jangan seksa diri untuk tanggung segala kesedihan kerana jika sesorang itu benar jujur perasaannya terhadap kau walau bagaimana cara sekalipun dia akan tetap mencari jalan untuk kembali kepada kau.

Kau perlu tahu harga diri kau yang sebenar untuk kau kumpul kekuatan melawan semua kesedihan yang kau rasakan. Jangan berhenti berusaha dan jangan suapkan diri kau dengan harapan untuk dia datang kembali. Kerana perkara itu tidak akan berlaku dan bukannya perkara yang betul-betul kau perlukan. Kau cuma layak untuk rasai setiap kegembiraan dan tidak ada sesiapa pun yang wajar buat kau telan pahitnya kesedihan.

Bila kau sudah mulai tenang dan beransur pulih, sudah tiba masanya untuk kau cuba memaafkan. Biar apa sekalipun yang dia lakukan kepada kau dan bagaimana sakitnya yang telah kau rasakan. Kau perlu mengerti bahawa rasa amarah itu hanya menyalakan api dendam, dan memaafkan itu kunci kepada kebebasan. Bebaslah kau dari rasa-rasa sakit yang membelenggu sebelum ini. Kerana kau layak untuk tersenyum kembali :)

Moga setiap baris kata-kata ini dapat merawat hati-hati yang sedang luka.

 

You Might Also Like

4 Comments

  1. Ayat-ayat ni walaupun saya tak dpat relate. it still dapat feels "merawat hati:. Puitis and uplifting. Hasil penulisan yg baik. I love when writing touches a heart.

    // afifahaddnan

    ReplyDelete
  2. Deep. Dapat dirasakan lahir benar-benar dari jiwa dan hati yang pedih. Anyways, Ramadhan Mubarak! Selamat berpuasa dan mendekatkan diri dengan TUHAN. :)

    ReplyDelete
  3. Rasa mcm baca salah satu bab dari buku indie.. :)

    ReplyDelete
  4. Deep, sesuai jugak utk org yg patah hati dgn keadaan yg bukan di pihaknya. :)

    hanisamanina.com

    ReplyDelete

Powered by Blogger.

Followers

ALIRAN TRAFIK

TEST 1

Ping!