Kebahagiaan Kecil Sepenamat Januari

6:13 AM

Tak terasa telah tamatnya Januari dan tanpa sangka udara Februari sudah kita hirup. 31 hari kiranya Januari - bagaimana rasanya menjalani bulan pertama di tahun ini? 

Aku percaya meski banyak hal-hal yang telah dirasakan; bersilih ganti manis dan pahit berlaku. Dua rasa penting yang mencorak kehidupan tiap-tiap manusia. Seperti kopi yang rasanya pahit dan gula putih manis yang dikacau perlahan di dalam cawan dan dihidang panas hingga jadi tagihan manusia. Keduanya diperlukan kerana saling melengkapi dalam mengimbangi rasa.

Ini adalah kebahagiaan-kebahagiaan kecil yang aku dapatkan di dalam Januari.




Menang percutian biaya percuma.

Sumber.


Dari awal sudah aku bayangkan bau udara bersih negara terbitnya matahari masih ada tinggalan tenang jauh dari hiruk pikuk kemodenan pusat bandarnya yang membangun. Teh hijau yang dipetik segar dibancuh dan disediakan dengan penuh budaya dan seni. Seni reka rumah kayunya mewah dan teliti diukir dengan penuh hati-hati dan tinggi nilai kesenian. Dan dari luar jendelanya jelas dilihat di mana terdapat air jernih mengalir sambil ikan-ikan kecil berenang riang di setiap perparitan kampung-kampung aman mereka. Segalanya terjaga kerana kuatnya mereka percaya pada dewa-dewa yang di puja di segenap tokong yang ada di setiap inci muka bumi Jepun. Agama Shinto yang mereka pegang memastikan upacara pemujaan dewa-dewa ini kekal diadakan dan menyatukan hati penganutnya. Hanya yang indah-indah cuba aku bayangkan. 

Kata dan putus untuk terbang menziarah ke negara ini masih belum aku putuskan. Masih banyak perkara yang perlu diperkira. Selanjutnya akan aku selitkan hyperlink kemudian ke penceritaan pengalaman aku di sana - Menyelusuri Masa ke Jepun. (Akan datang.)


Teriknya matahari di Phuket.

Sumber.


Tegang rasanya kulit bogel dibakar ranggup matahari di Phuket. Pulau-pulaunya yang terletak jauh diantara setiap satunya tersergam indah dan terjaga. Lautnya tenang memainkan alunan ombak yang kencang memukul tepian pantai. Tiada yang lebih menenangkan bila bersantai di bawah matahari dengan sunglass hitam dan seluar pendek melihat gelagat orang putih di pantai-pantai dosa dan seksi. Bandarayanya sesak dengan orang berjual beli. Ada yang menjual murah dan melangit tinggi. Rakyatnya ramai perempuan dari lelaki. Kerana lelakinya lebih gemar menjadi perempuan.

Jalan-jalan kecilnya sesak dengan motorsikal dan skuter berbagai jenama. Waktu malam Phuket lebih bernyawa dari siangnya. Untuk baca yang selanjutnya akan aku siapkan satu entri khas untuk Phuket. Ceritakan kegembiraan yang aku ciptakan di Phuket. Hyperlink seterusnya di sini - Matahari dan Pulau di Phuket, Thailand. 

Kesayangan.

Sumber.


Aku percaya setiap apa yang indah itu datangnya dari hati yang bahagia. Hati yang bahagia pula lahirnya dari rasa bercinta. Dan aku berfikir apakah Tuhan itu bercinta sedang Dia mencipta langit dan segenap alam semesta; indah dan penuh kerahsiaan. Tetapi mustahil dan jauh dari landasan kebenaran kerana Tuhan itu tidak berciri manusia.

Apa pun Januari masih yang membahagiakan. Bila mana aku mula belajar untuk terus hidup sendiri tetapi datangnya seorang yang sedia menemani. Demikian kalaulah rasa bahagia ini dipinjamkan dengan tarikh luput, lalu aku mahu biarlah lewat datang luputnya. Kerana rasa kebahagiaan itu nikmat yang sukar puas dirasakan. Dan jauhkanlah rasa-rasa yang membolak-balik dan mendukacitakan. Kerana biar setitik pun adanya rasa itu cukup mengganti dan hilangkan rasa bahagia.

Aku terus berharap untuk Februari yang lebih membahagiakan.

You Might Also Like

2 Comments

Powered by Blogger.

Followers

ALIRAN TRAFIK

TEST 1

Ping!