Aku Mencari Cinta

6:25 PM

AKU MENCARI CINTA

Ada seorang budak perempuan yang sering jadi perhatian bola mata aku, selalu aku curi-curi lihat sewaktu rehat dan di perhimpunan. Bukan selalu dapat aku lihat dia, kami tak sekelas. Cantik kacukan Melayu-Jerman, putih macam model produk pemutih kulit, tinggi hampir setinggi net bola tampar sekolah yang dia wakili. Tapi perempuan secantik
dia takkan pernah pandang lelaki teruk macam aku – segala yang negatif di sekolah aku lakukan kecuali satu yang aku yakin, lelaki seteruk aku belum lagi terlintas nak mengandungkan orang.

Cuma satu yang sempat aku lakukan. Kali ni bukan malukan diri macam yang selalu aku lakukan bila berdiri di hadapan pentas disebabkan segala macam masalah disiplin – buatlah jahat sebanyak mana pun sekolah akan tetap timbang rasa selagi ayah aku taja semuanya. Tipikal.

Aku tinggalkan dia dengan sekeping nota kecil. Bertulis empat perkataan yang aku gulungkan sekecil boleh dan sumbatkan dalam pen dari dalam kotak milik dia sewaktu keluar awal dari dewan peperiksaan untuk kertas terakhir SPM. Yang paling mustahil untuk dijumpai itu yang aku fikirkan. Ini aku anggap sebagai penamat untuk kisah aku dan dia. Biarkan aku bebas dari rasa yang membelenggu.

Ada seorang budak perempuan yang aku kenal di tempat kerja, manis senyuman dia macam gula yang naik harga, tutur kata sentiasa nak menggoda jiwa remaja aku. Ibaratkan aku seperti lilin dan dia ialah api. Dia menyala membakar dan mengasak bahagian tubuhku yang lalu cair melurut ke bumi. Syukur belum sempat cair seluruhnya tubuhku, sudah hinggap penumbuk kekasihnya di pipiku. Sakit! Nak dibalas terasa dayus lalu dia cepat-cepat aku lupakan. Sesungguhnya jantina itu terlalu subjektif untuk jadi penghalang manusia dari bercinta.

Ada seorang perempuan yang aku kenal melalui Facebook. Bila dah makin rapat kami bertukar nombor telefon. Dia berbeza dari yang lain, seakan lebih memahami diri aku. Dia punya sesuatu yang sering aku rindukan, mesej nakalnya yang kadang-kadang mencuit hati. Kerap kali kami bercakap melalui telefon menceritakan hari masing-masing, comel gelak kecilnya. Genap dua bulan kami berhubung lantas aku pinta untuk bersua muka. Tapi sayang tak pernah aku sangka dia berhalkum dan hingga sekarang keliru aku mana datangnya suara gadis yang aku dengar ketika bercakap di telefon. Sesungguhnya aku sedar bahawa cinta itu membutakan hati tapi bukan mata yang melihat.

Ada seorang perempuan yang aku kenal di IPT, sederhana rupa paras tapi cukuplah menceriakan hari aku. Dia periang dan yang paling banyak bercakap. Mudah mesra mahupun dengan kawan lelaki aku yang lain. Nak cemburu pun aku rasa tak patut tapi ceritanya jadi lain bila semuanya terpampang. Dalam diam dia menyulam cinta dengan yang lain. Bukan marah tapi kecewa bila dikhianati kawan sendiri. Kalau marah boleh diubat dengan maaf tapi aku tak pasti bahawa maaf juga penyembuh kecewa. Betullah orang kata dalam cinta itu perlu pengorbanan, berkorban untuk melihat orang yang kau cinta bahagia. Ya bahagia selamanya!

Saat aku mula lelah bercinta, aku dikenalkan pada seorang perempuan oleh keluarga. Alim bertutup litup nasib tak berpurdah. Baru sahaja kenal kami terus diikat dengan pertunangan. Kata mereka lagi cepat lagi bagus, nanti lepas kahwin barulah bercinta.  Dia agak pendiam, hampir tiada apa yang dia cakapkan selain menjawab sepatah dua soalan aku ketika kami keluar bersama. Bila hampir ke hari penamat cinta ekspress kami dia menghilang. Katanya tak bersedia, cinta aku yang baru nak berputik dia pulangkan. Ya cinta itu tak boleh dipaksa dan tak mungkin terjamin. Mungkin hari ini aku mencintai dia dan mungkin nanti cinta itu pudar sendiri. Kalaulah siang pun bertukar malam inikan pula manusia.

Biar jadi matahari menerangi bumi beri manfaat walau berseorangan tidak seperti bulan bertemankan bintang hanya sekadar duduk menghiasi langit Tuhan.

Genap 30 tahun usia aku menginjak dengan masa yang langsung tak terasa seperti angin yang berlalu pergi. Dan aku masih sendiri sibuk menyemak fail-fail pejabat sebelum turun makan tengah hari.

Ada seorang perempuan yang pernah aku kenal. Dia duduk memerhatikan aku, menghirup saki baki kopi di dalam cawan. Belum habis kopi aku hirup, dia sudah berada tepat di depan aku. Dia masih tinggi dan masih lagi putih seperti dulu tapi kali ini dia menyuakan aku sehelai nota kecil – terlalu kecil sekadar cukup untuk dipegang. Aku tersenyum nipis mengingatkan kembali kisah lama. Begini lama aku nantikan jawapan. Mungkin mustahil tapi inilah susunan hidup dari Dia. Apakah ini penamat pencarian cinta aku?

Ada seorang perempuan yang pernah aku kenal. Cuma kali ini berbeza. Bukan sekadar lihat dari jauh tapi dia sentiasa berada di samping aku. Hidup seakan sempurna bila dia ada bersama. Mungkin hidup banyak mengajar aku hal cinta yang banyak aku gagalkan. Tapi cuma satu ini yang berjaya. Dia masih tinggi dan masih lagi putih seperti dulu cuma kali ini dia berbaring selesa di sebelah aku. Perbuatan mencuri masih yang aku gemarkan bila mana aku masih mencuri lihat wajahnya yang tenang tidur.

Ada seorang perempuan yang pernah aku kenal. Dia masih lagi berbaring tapi kali ini juga berbeza – bukan lagi di sisi aku. Terkadang ada air yang jatuh menyentuh pipi dia bila dia bersuara – lembut menenangkan. Air yang jatuh langsung tak mencacatkan wajahnya tapi memadamkan api kelakian aku. Aku tak cukup kuat untuk kehilangan sesuatu yang berharga dari permata. Sampailah terakhir kali dia aku lihat, dah tiada sesuatu yang menyerikan hidup aku sejak 15 tahun yang dulu. Semuanya gelap meski matahari kekal menerangi.

Kini aku sedar bahawa cinta itu hanya pinjaman bukan milik abadi. Kalau hari itu dia ada temani aku mungkin tidak hari ni bila mana aku cuma ditemani sebatang pen dan nota-nota kecil kami.

Ada seorang perempuan yang aku kenal dan yang terakhir ingin aku kenal. Dia tak perlukan jasad untuk aku cintakan sekadar cukup bermain di fikiran. Dia perempuan yang pernah aku kenal. Dia perempuan yang masih aku rindukan. Dia juga perempuan terakhir yang aku cintakan.  

You Might Also Like

0 Comments

Powered by Blogger.

Followers

ALIRAN TRAFIK

TEST 1

Ping!