Nia Sophillea 2

4:45 AM

Hari berlalu semakin pantas, banyak perkara yang berlaku. Setiap perkara yang berlaku pula makin mematangkan diri. Hampir enam tahun, semuanya telah berubah kecuali aku. Perasaan aku terhadap kau, rindu aku terhadap kau, kekaguman aku terhadap kau, semuanya sama Nia Sophillea!

Setelah tamat pelajaran aku di universiti awam, aku ambil keputusan untuk cari pekerjaan. Ibu ayah makin tua,
kudrat mereka pun makin berkurang. Ikutkan hati mahu saja aku menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Keluarga tak mampu, lalu aku hentikan harapan.

Adik-adik makin membesar, tanggungan ibu ayah makin memberat. Makan pakai, sekolah dan macam-macam keperluan mereka perlu dilengkapkan. Ibu ayah tak mampu, aku yang sulung mainkan peranan.

Dalam ekonomi negara kita yang dalam kegawatan, apa-apa pekerjaan pun memadai. Asalkan ada duit, mampu aku sara keluargaku. Susahnya hidup Nia Sophillea! Kadang aku mengeluh, alangkah indah kalau kau bersama aku.

Ibu sangat bersyukur, aku ditawarkan bekerja di sebuah syarikat swasta di bandar. Bertambah sumber pendapatan kami, ayah terus membawa teksi. Ibu pula ambil upah menjahit.

Sedang sibuk aku jalani hidup, masih kau bermain di fikiran. Sihatkah kau? Dan yang paling aku risaukan masih ingatkah kau kepadaku? Hari-hari ini telah aku tempuh, biar kau tak ada bersama tapi aku gagahkan juga.

Diawalnya sering juga kita berutus surat, bertukar cerita hidup. Keindahan negara orang cuba kau gambarkan kepada aku. Cemburu? Rasa rindu lagi menguasai aku. Senyuman kau, gelak tawa kau, telatah kau semuanya aku rindukan.

Tapi kini seakan pudar, seperti masa yang memisahkan kita. Jauh jarak di antara kita, entahkan bila dapat kita bertemu. Hari ke hari banglo mewah milik keluargamu tetap jadi tatapan. Buat alas hati yang menanggung rindu. Perihnya kadang mencucuk hati.
Tumbuhan menjalar makin berselirat memegang erat dinding banglo mewah keluargamu. Serinya seakan menghilang seperti mati sejak tiadanya engkau. 

Keluargamu ambil keputusan meninggalkan segala kenangan bersamamu di dalam banglo itu. Mereka berpindah, jauh dari kenangan itu. Seakan percaya segala kenangan itu akan hilang sekelip mata. Tetapi tidak, kenangan itu tetap terpahat di ingatan bahkan terus berputar menceritakan satu persatu.

Nia Sophillea, tidakkah kau tahu banyak hati yang menyeksa jasad kerana merindukan kau?

Nia Sophillea, tidakkah kau mahu melangkah pulang tetap bersama kami?

Nia Sophillea, apakah kau tahu aku menyimpan perasaan terhadapmu?

Bertanya sendiri. Andai kau punya peluang untuk menjawab persoalan-persoalanku, akan aku tunggu.

Jika mampu, aku inginkan masa dihentikan. Aku ingin sentiasa bersamamu, dekat denganmu. Tetapi itu semua mustahil, pahitnya hakikat harus aku terima. Saat itu merupakan yang tidak pernah aku bayangkan.

Runtun hati ibu ayahmu saat melihat jasad kau terkujur layu. Puteri tunggal mereka kini patah sayapnya, tak bisa terbang lagi ke langit tinggi gapai cita-cita. Kau kesayangan, kau harapan, kau juga hidup mereka. Semua itu telah terhenti. Mematikan semua yang mereka ada saat melihat engkau dimandikan.

Jantung seakan berhenti berdegup ketika lihat kau dikambus. Tidak ada yang mampu aku lakukan. Menangis? Mungkin aneh bagi seorang lelaki, tapi aku rela jadi lelaki aneh itu. Semuanya tidak tertahan, kau sakit kuat dan Dia sayangkan kau.

Terhenti.

Tidak.

Tiada yang terhenti. Waktu terus berputar, memaksa diriku terus sedar gagahkan diri. Mungkin rasa yang aku pendamkan tak mampu untuk aku luahkan, tetapi masa yang kita luangkan amat membahagiakan dan tidak sedikit pun aku kesalkan.

Nia sophillea dirimu masih aku kagumi. Surat-suratmu, kenangan kita, ku simpan sebaiknya. Andai aku bermimpi, engkaulah yang aku mimpikan.

Jam tepat menunjukkan 5.30 petang. Selesai tugasku di pejabat. Aku mula mengemas barang-barangku. Mengeluh perlahan mengenangkan kau. Jauh aku bermenung. Lalu bingkas bangkit berjalan lemah pulang ke rumah.

Nia Sophillea mungkin cerita kita tidak setanding yang lain, cerita cinta tidak terungkap. Itu lebih memeritkan.

Nia Sophillea biar jasad kita terus terpisah, tetapi memori indah yang kita cipta terus kekal. Tak semua cerita cinta harus memiliki. Rasanya sama, cinta. Tetapi jalan ceritanya berbeza. Nia sophillea sesungguhnya aku mencintaimu!

Karya Ikhlas,

Syakier Salleh.


You Might Also Like

6 Comments

  1. Wah!!! memang boleh keluarkan novel ni...:-)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Ibu Fahim, novel? InshaAllah sedang tambah baik cara penulisan.

      Delete
  2. Okey, saya ulas dengan ikhlas ye. Saya suka dengan penggunaan gaya bahasa yang lancar sahaja sepanjang saya membaca karya ni. Jujur saya katakan saya sendiri gagal dalam soal itu ketika menulis cerpen atau novel. Anda telah berjaya menewaskan saya dalam bab itu. Penggunaan gaya bahasa yang lancar maksudnya jalan ceritanya dapat berjalan seperti air sungai yang mengalir. Tanpa sekatan atau halangan. Anda pandai memilih kata kata yang sesuai dalam karya anda. Tahniah saya ucapkan.

    Pada saya, anda menumpukan banyak aspek dalam menulis karya ini antaranya gaya bahasa dan jalan cerita. Berbanding saya, saya hanya fokus pada jalan cerita sahaja tetapi kerap mengabaikan gaya bahasa dan teknik penceritaan.

    Walaubagaimanapun, karya ini masih boleh diperbaiki kerana kesan karya ini tidak terlalu melekat dalam jiwa saya. Maksudnya, perasaan sedih akibat kematian Nia Sophillea itu tidak kekal lama dalam jiwa saya. Kesan itu hadir sekejap sahaja. Oleh itu, kalau boleh cuba tambahkan sikit rasa sedih tu dalam karya ini. Pasti akan jadi lebih menarik. Lain lain saya tak ada masalah. Perasaan cinta watak 'aku' terhadap Nia Sophillea itu dapat saya rasa dengan berkesan sekali.

    Maaf jika anda kurang selesa dengan teguran saya. Jujur saya bukanlah seorang penulis yang baik. Tetapi saya mengulas begini kerana saya biasa membaca karya karya orang lain. Dan ikhlas saya katakan, anda berpotensi menjadi penulis yang baik berbanding saya. Kalau dibuat penambahbaikkan, dan karya ini dihantar ke majalah atau surat khabar, saya yakin pasti akan diterima untuk disiarkan.

    Maafkan saya jika anda tidak selesa dengan ulasan saya. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah, terima kasih atas ulasan. Dapat juga saya tahu mana kurangnya dalam cerpen saya. InshaAllah akan saya jadikan ulasan ada sebagai penambahbaikan untuk tulisan yang mendatang. Soal potensi itu tak usah dibandingkan kerana bagi saya masing-masing punya kelebihan dan kreativiti dalam mengolah hanya perlu bijak dalam meletakkan kreativiti tersebut. Terima Kasih sekali lagi :)

      Delete
  3. Huyooooo macam novel tu. ini novel ke reality? Hehe.

    ReplyDelete
  4. HAHAHA 100% rekaan. Tiada yang kena mengena dengan yang hidup dan mati. Ewahh HAHAHA.

    ReplyDelete

Powered by Blogger.

Followers

ALIRAN TRAFIK

Ping!